Resepsi Yuna Zarai & Adam Sinclair Ahad Ini

Penyanyi yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), Yuna dan pasangannya, Adam Yousof Sinclair memilih Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebagai lokasi majlis resepsi, Ahad ini.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 31, mengumumkan hari bersejarah mereka melalui kad jemputan yang sudah diedarkan kepada jemputan dan media, sejak beberapa hari lalu.

Keterangan pada kad jemputan menunjukkan pasangan yang mengikat pertunangan pada 5 Ogos tahun lalu, bakal meraikan tetamu di PICC pada majlis yang bermula jam 8 malam.

Yuna akan berkongsi butiran pernikahan dan perkahwinannya dengan Adam, 33, yang juga seorang pengarah, pada sidang media di lokasi sama, Sabtu ini.

Menyemak status dikongsi Yuna di Instagram @yunamusic, penyanyi Crush itu memuat naik status persiapan menjelang hari bahagianya bersama pengarah video yang juga adik kepada pelakon Ashraf Sinclair itu.

Yuna yang pulang ke Malaysia sejak awal tahun ini turut diraikan teman rapat dalam ‘parti bujang’ di sebuah hotel di Subang pada 13 Januari lalu. Yuna dan Adam berkenalan sejak 2013.

 

Sumber dari: Berita Harian

Leave a Reply